Jurugambar sambilan maut ditikam teman wanita
KUALA LANGAT – Akibat cemburu, seorang jurugambar sambilan maut selepas dipercayai ditikam oleh teman wanitanya di sebuah rumah di Bandar Rimbayu dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, polis menerima laporan pada jam 9.41 pagi daripada seorang doktor di Hospital Cyberjaya yang memaklumkan menerima seorang pesakit dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pengadu membuat bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dalam masa 30 minit tetapi tiada tindak balas dan denyutan nadi mangsa.
“Mangsa yang berusia 26 tahun itu kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 7.25 pagi, semalam dengan kecederaan luka tikaman di bahagian pergelangan tangan kiri dan kaki kiri dipercayai ditikam dengan sebilah pisau,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan itu katanya, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat membuat tangkapan terhadap teman wanita mangsa di kawasan hospital.
Katanya, hasil semakan, wanita tempatan berusia 26 tahun itu adalah bekas pelajar perubatan dan bekerja sebagai model sambilan serta tidak mempunyai rekod lampau.
“Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah cemburu kerana suspek mendapati mangsa telah berlaku curang terhadapnya,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Ridhwan berkata wanita berkenaan direman enam hari bermula hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.
Mereka yang mempunyai maklumat diminta hubungi bilik gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-31872222.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







