
JPN tahan warga Indonesia miliki sijil lahir individu lain, kad pengenalan dengan butiran palsu
Guna dokumen tersebut bagi jalankan perniagaan di Kuantan
PUTRAJAYA – Seorang wanita warga Indonesia ditahan kerana disyaki memiliki sijil lahir individu lain dan kad pengenalan dengan butiran palsu dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kempadang, Kuantan, Pahang, semalam.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam satu kenyataan hari ini berkata, wanita berusia 36 tahun itu dipercayai menggunakan dokumen peribadi itu bagi menjalankan perniagaannya di daerah berkenaan.
Kata JPN, penemuan itu hasil serbuan Op Terancang yang dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa JPN Putrajaya kerjasama JPN Pahang dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Serbuan tersebut dibuat susulan aduan serta risikan selama dua minggu.
‘Hasil pemeriksaan, wanita itu berasal dari Medan, Indonesia itu didapati memiliki dokumen perjalanan diri yang sah iaitu Pasport Indonesia dan kad pengenalan Malaysia dengan mengandungi butiran palsu.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, dia turut memiliki sijil lahir individu lain.
“Wanita itu mendakwa membelinya daripada ejen dengan harga RM8,000 bagi digunakan untuk mendapatkan kad pengenalan,” kata JPN, hari ini.
Tambahnya, wanita terbabit kini ditahan untuk siasatan lanjut sambil menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |