
JKDM Kelantan rampas 3.2 juta batang rokok seludup
KOTA BHARU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya merampas lebih 3.2 juta batang rokok seludup bernilai RM2.9 juta termasuk cukai dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Peringat pada 19 Februari lalu.
Pengarah Kastam Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, serbuan dijalankan pasukan operasi Cawangan Penguatkuasaan Kota Bharu pada pukul 11.30 malam selepas risikan mendapati rumah itu dijadikan tempat penyimpanan rokok seludup.
“Hasil pemeriksaan, lebih 3.1 juta batang rokok atau 320 peti ditemukan dalam rumah berkenaan.
“Selain itu, 30,000 batang rokok lagi ditemui tersembunyi dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire yang turut dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sindiket dipercayai menggunakan rumah sewa sebagai lokasi penyimpanan sebelum rokok seludup itu diedarkan ke pasaran.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2.9 juta termasuk cukai, manakala kenderaan yang digunakan turut disita,” katanya lagi.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki atau menyimpan barang larangan tanpa kelulusan pihak berkuasa.
Dalam pada itu, Wan Jamal menggesa masyarakat untuk terus bekerjasama dengan JKDM dalam membanteras jenayah penyeludupan, khususnya melibatkan rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.
“Penyeludupan bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara tetapi juga boleh mengancam keselamatan serta kesejahteraan rakyat.
“Justeru, kami menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan bagi membolehkan tindakan tegas diambil,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |