JENAYAH & MAHKAMAH

JKDM Kelantan patahkan cubaan seludup 14.3kg ganja bernilai RM1.4 juta

RANTAU PANJANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya mematahkan cubaan seorang lelaki warga Thailand menyeludup sebanyak 14.3 kilogram (kg) ganja bernilai RM1.4 juta di Pintu 1, Zon Bebas di sini kira-kira tiga minggu lalu.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, barangan terlarang itu dirampas kira-kira pukul 9.15 pagi semasa Unit Narkotik Zon Timur Rantau Panjang menjalankan tugasan di sempadan Malaysia-Thailand pada 27 Mei lalu.

Sebelum itu, katanya, pihaknya menerima maklumat awam mengenai sebuah bagasi yang ditinggalkan di Pintu 1, Zon Bebas, di sini.

Pemeriksaan terhadap beg tersebut mendapati ia mengandungi 10 peket plastik lutsinar yang disyaki bunga ganja, lapor Kosmo.

“Pada masa sama, pihak kastam turut menahan seorang lelaki warga Thailand bersama sebuah lagi bagasi di pintu masuk negara ini.

“Pemeriksaan di dalam bagasi dibawa suspek membawa kepada penemuan sebanyak 15 paket plastik lutsinar yang dipercayai dadah jenis sama,” katanya, hari ini.

Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, secara keseluruhannya, dua buah bagasi itu mengandungi sebanyak 25 peket dadah jenis ganja seberat 14.3 kg yang dianggarkan bernilai RM1.4 juta.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, kesemua dadah itu dipercayai diseludup melalui pangkalan haram di Sungai Golok sebelum dibawa keluar melalui Zon Bebas di sini.

“Kedua-dua bagasi berisi ganja dan suspek dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button