JAIS beri amaran tutup sekolah agama terlibat kes penderaan, seksual
KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak teragak-agak untuk menutup mana-mana sekolah agama swasta di negeri itu yang terpalit dengan kes penderaan fizikal, seksual dan perkara yang terpesong dari prinsip agama.
Pengarahnya, Datuk Shahzihan Ahmad menegaskan, tindakan menamatkan pendaftaran sekolah boleh diambil mengikut Seksyen 15 Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam 1988 dan Seksyen 25 Enakmen yang sama.
“Ini mengikut Seksyen 15 Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam 1988 Pindaan (2001), jika didapati sekolah terbabit dengan penderaan dan gangguan seksual kepada pelajar atau apa sahaja bentuk perbuatan tidak wajar yang menyanggahi prinsip asas Islam.
“JAIS juga akan mengambil tindakan menutup sekolah terbabit mengikut Seksyen 25 enakmen yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mengikut Seksyen 8 enakmen yang sama, pihak sekolah swasta juga boleh didakwa dan mendakwa.
“Selain kes jenayah, ibu bapa dan penjaga turut boleh mendakwa dan menuntut hak anak-anak jika telah diperlakukan selayaknya untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Shahzihan yang juga Pendaftar Sekolah Islam Selangor berkata demikian susulan beberapa kes yang berlaku di sekolah agama sejak kebelakangan itu amat mendukacitakan.
“Kes terbaharu yang tular membabitkan empat pelajar yang hilang dari sebuah sekolah tahfiz dan ditemui di Bukit Jelutong kerana disyaki didera dan menjadi mangsa seksual.
“Jika benar berlaku, ini adalah suatu yang sangat memalukan, melampau, tidak bertamadun dan terkeluar sama sekali daripada konsep mendidik yang ditetapkan oleh Islam,” katanya mengingatkan kepada jemaah pengurusan, pentadbir dan guru sekolah agama swasta di Selangor.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








