
Isu ham: Cecelia Yap mohon maaf, janji tak akan ulangi
KUALA LUMPUR – Pemilik akaun Facebook Cecelia Yap Song KL yang membuat satu hantaran berbaur penghinaan terhadap agama Islam baru-baru ini tampil memohon maaf.
Cecelia Yap menerusi kenyataan dikeluarkan firma guaman mewakilinya Saibullah MV Nathan dan Co berkata, dia amat kesal atas kenyataan sensitif disiarkan di dalam media sosial sehingga menyinggung perasaan orang ramai.
“Saya berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini di masa hadapan dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis.
“Dengan rasa rendah diri saya ingin menyusun sepuluh jari untuk memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia yang tersinggung dengan insiden ini,” katanya memetik laporan Sinar Online hari ini.
Terdahulu, pelawak dan juga pelakon Harith Iskander memuat naik hantaran di dalam Facebook memaparkan menu kedai kopi dengan item bernama ‘Ham Sap Kopi’.
Harith dikatakan secara sarkastik menyentuh isu ‘ham’ yang menjadi kontroversi sebelum itu apabila kedai rangkaian serbaneka menjual sandwic ham tanpa sijil halal sah di sebuah pusat pengajian tinggi.
Hantaran tersebut menerima satu komen dimuat naik oleh pengguna yang menggunakan id ‘Cecelia Yap Song’ bahawa “All names with MoHAMmad… got to be renamed then” telah menimbulkan kontroversi kerana berbaur penghinaan terhadap agama Islam.
Susulan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memanggil dan merakam keterangan pelawak berkenaan pada Rabu lalu sekali gus mengenal pasti identiti Cecelia Yap setelah menerima 16 laporan polis di seluruh negara berhubung insiden terbabit.
Siasatan ini merupakan sebahagian daripada siasatan pihak berkuasa terhadap hantaran berbaur sinikal yang dimuat naik pelawak, Harith Iskander terhadap perkataan ‘ham’, minggu lepas.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |