JENAYAH & MAHKAMAH

Isteri Tun Daim sahkan akan didakwa SPRM esok

KUALA LUMPUR – Isteri kepada Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid mengesahkan beliau akan didakwa di mahkamah esok selepas permintaannya untuk didakwa pada Rabu telah ditolak oleh SPRM.

Beliau berkata, pasukan SPRM sebelum ini telah mengambil keterangan semasa menemani suaminya menjalani rawatan di hospital.

Katanya, beliau sebelum itu telah memberi jaminan kepada SPRM untuk memberi kenyataan sebaik sahaja prosedur perubatan suaminya selesai pada hari Selasa (esok).

“Mereka berkeras mahu mendakwa saya esok. Saya akan melawan pertuduhan ini.

“Mereka kata saya akan didakwa mengikut Seksyen 36(2) SPRM 2009 kerana kononnya gagal mematuhi notis meminta untuk mendedahkan maklumat mengenai aset,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Malaysia Tribune petang tadi melaporkan isteri bekas menteri kewangan itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok berkait Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu SPRM mengesahkan akan mendakwa isteri kepada Tun Daim Zainuddin, iaitu Toh Puan Na’imah Khalid, esok.

SPRM memaklumkan suruhanjaya berkenaan akan menjalankan proses pertuduhan terhadap Na’imah, pada jam 9 pagi esok di Mahkamah Sesyen Jenayah 9, di sini.

Na’imah menegaskan keluarganya tidak pernah merahsiakan memiliki aset di luar negara yang didakwa hasil daripada aktiviti perniagaan dan pelaburan sebelum pembabitan Daim dalam politik.

SPRM sebelum ini menyiasat Daim berhubung pendedahan kekayaannya dalam kebocoran rekod kewangan antarabangsa yang dikenali sebagai kertas pandora.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button