BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Isteri polis mengaku tak salah racun suami, ibu mentua

KUANTAN – Isteri seorang pegawai polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan dengan cara menggunakan racun terhadap suami dan ibu mentuanya lima tahun lepas.

Mou Ei Leen @ Eileen Mou, 42, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha, memetik laporan FMT hari ini.

Mengikut tuduhan pertama, ibu dua anak itu didakwa melakukan perbuatan terbabit terhadap suaminya di sebuah rumah pada Julai 2019.

Bagi tuduhan kedua, wanita berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu terhadap ibu mentuanya di sebuah rumah penjagaan warga emas pada Jun 2020.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 328 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Aqharie Durranie Aziz, manakala tertuduh diwakili peguam Bob S Arumugam.

Terdahulu, Raja Zaizul Faridah mencadangkan wang jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap tuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis terdekat dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh merayu jaminannya dikurangkan kerana tertuduh mempunyai dua anak berusia 12 dan 15 tahun yang masih bersekolah.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh membayar jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua tuduhan, menyerahkan pasport dalam masa tujuh hari kepada mahkamah, serta tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan sehingga selesai perbicaraan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 27 Jun ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button