IPD Sepang lupus barang kes bernilai lebih RM155,000
SEPANG – Barang kes membabitkan mesin bitcoin, rokok dan minuman keras yang dirampas bagi tempoh 2021 hingga tahun ini dengan nilai anggaran RM155,833 telah dilupuskan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pelupusan barang kes Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sepang itu membabitkan 14 kes rampasan mesin bitcoin, dua kes rampasan rokok dan satu kes minuman keras.
“Keseluruhan rampasan mesin bitcoin sebanyak 541 unit dengan nilai RM108,200, manakala rokok pelbagai jenama yang dirampas berjumlah 646 karton dianggarkan bernilai RM24,008.
“Bagi rampasan minuman keras, satu kes yang membabitkan rampasan 172 botol dan 67 tin minuman keras anggaran nilai RM23,625 yang disiasat di bawah seksyen 135(1)(d) akta kastam 1967.
“Jumlah keseluruhan rampasan bagi barang kes bitcoin, rokok serta minuman keras anggaran RM155,833,” katanya dalam satu sidang media selepas Majlis Pelupusan Barang Kes di IPD Sepang hari ini.

Mengulas lanjut, Norhizam berkata, arahan pelupusan telah diperolehi daripada Majistret Mahkamah Sepang dibawah Seksyen 406 A Kanun Prosedur Jenayah.
Katanya, proses pelupusan dilakukan oleh syarikat Pandamaran Jaya Motor, yang mana syarikat ini telah menerima pensijilan dari Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara dan Kementerian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk melakukan pelupusan bagi aset-aset kerajaan dan pelupusan yang dilakukan selari dengan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
“Bagi barang kes mesin mining bitcoin, pelupusan dibuat dengan cara menghancurkan mesin-mesin berkenaan secara manual, manakala bagi barang kes rokok, kesemua rokok akan dibakar di dalam kebuk pembakaran.
“Seterusnya bagi barang kes minuman keras, cecair akan diasingkan secara kimia dan dilupuskan secara pemeruapan manakala botol dan tin akan dikitar semula,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







