
Insiden mabuk bertukar ganas, lelaki parah diserang sekumpulan individu
NILAI – Seorang lelaki tempatan cedera parah selepas dipercayai diserang sekumpulan individu menggunakan parang dan kayu ketika pergaduhan melibatkan individu mabuk di hadapan sebuah restoran makanan segera di Bandar Baru Nilai, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 6.08 pagi.
Menurutnya, laporan dibuat oleh seorang pegawai perubatan dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor yang merawat seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dalam keadaan berlumuran darah di muka dan badannya.
“Mangsa telah dimasukkan ke Zon Merah Jabatan Kecemasan hospital tersebut untuk rawatan segera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Siasatan awal Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai mendapati kejadian berlaku susulan pertengkaran antara mangsa dan beberapa individu tidak dikenali di lokasi kejadian.
“Mangsa dipercayai telah diserang menggunakan parang dan sebatang kayu, menyebabkan kecederaan di bahagian kepala serta kaki.
“Bagaimanapun, mangsa kini dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya lagi.
Abdul Malik berkata, siasatan awal juga mendapati insiden itu tidak melibatkan sebarang unsur samseng, dendam atau perselisihan lama.
“Kejadian dipercayai tercetus secara spontan susulan keadaan mabuk dalam kalangan pihak terlibat sehingga berlaku salah faham, provokasi dan pergaduhan fizikal,” katanya lagi.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata, Seksyen 427 kerana khianat serta Seksyen 326 kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan IPD Nilai di talian 06-790 4222.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |