Inkues Zara Qairina: Tulisan tangan orang lain ditemui dalam buku milik arwah
KOTA KINABALU – Inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner di sini hari ini mendedahkan kewujudan tulisan tangan orang lain dalam sebuah buku milik arwah.
Pemeriksa dokumen Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh, ketika membacakan keterangannya berkata, beliau menemukan perbezaan ketara pada tulisan dalam buku bertanda W3 yang diperiksanya sebelum ini.
“Tulisan tangan yang dipertikaikan pada W3 di beberapa muka surat menunjukkan perbezaan signifikan daripada contoh tulisan tangan ‘SA’ iaitu tulisan arwah sendiri. Oleh itu, saya berpendapat ia bukan ditulis oleh penulis contoh,” katanya lagi.
Menurut beliau, tulisan tangan berkenaan ditemui pada muka surat dua, tujuh hingga 14, 25 hingga 37, 46, 58 hingga 64 serta 73 hingga 89 buku berkenaan.
Menariknya, pada muka surat pertama, katanya terdapat gabungan tulisan tangan milik arwah dan individu lain.
Nurul Atiqah berkata, buku bertanda W3 itu adalah sebuah buku Diamonds setebal 103 muka surat, bertarikh antara 16 November 2024 hingga 24 Mei 2025.
Secara keseluruhan, beliau memeriksa 15 helai kertas, empat buku nota serta dua buku teks yang mengandungi tulisan tangan untuk menentukan sama ada ia ditulis oleh arwah atau sebaliknya.
“Pemeriksaan mendapati dokumen lain iaitu helaian kertas bertanda Y1 hingga Y7, Y9 hingga Y15, buku bertanda W1 dan W2 semuanya menunjukkan persamaan signifikan dengan tulisan tangan Zara Qairina. Begitu juga pada helaian Y8,” katanya lagi.
Beliau betkata, kesemua dokumen terbabit telah dimasukkan semula ke dalam beg barang kes asal sebelum dimeterai dengan label keselamatan Jabatan Kimia Malaysia.
Dokumen itu bersama tiga salinan laporan kimia kemudian diserahkan kepada pihak polis pada 2 September lalu, jam 10.45 pagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








