JENAYAH & MAHKAMAH

Inkues Zara Qairina: Ketua warden menangis ketika beri keterangan

KOTA KINABALU – Mahkamah Koroner hari ini diberitahu pihak pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha dan kakitangannya tidak pernah cuba menyembunyikan kebenaran di sebalik kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Ketua Warden, Azhari Abd Sagap turut mengalirkan air mata ketika sesi inkues bagi mencari punca kematian Allahyarham Zara Qairina, hari ini.

“Saya tidak pernah cuba melindungi pembuli atau pembunuh Zara. Kalau saya mahu lindungi mereka, saya takkan beritahu polis apa yang berlaku pada malam 15 Julai lalu. Sayalah orang yang berurusan secara langsung dengan polis.

“Apa saja yang polis minta, siapa yang mereka mahu saya bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar… saya kumpulkan bukti dan serahkan rakaman audio Kak M. Sayalah orang yang kenal pasti dia kepada polis.

“Ketika polis siasat sama ada rakaman itu tulen atau tidak, saya juga yang jelaskan kepada mereka,” katanya ketika disoal peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah di hadapan koroner Amir Shah Amiri Hassan hari ini.

Abdul Fikry yang mewakili seorang daripada lima remaja yang didakwa di mahkamah kerana membuli Zara, bertanya mengenai kecaman diterima Azhari dan sekolah selepas Zara disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu.

Azhari turut menceritakan tindakan yang diambilnya bermula sejak Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri pada awal pagi 16 Julai lalu dan pertemuan dengan ibu arwah selepas kejadian berkenaan.

“Sama juga dengan saya, ini (kecaman) yang saya dapat. Saya cuba bawa Zara ke hospital, call 991 untuk minta ambulans ambil Zara, saya ikut ambulans ke hospital dan saya tunggu sampai ibunya sampai.

“Saya di unit kecemasan sampai petang tidak mandi, adakah ini yang patut saya dan sekolah terima? Saya tinggalkan Zara dan ibunya (pada 16 dan 17 Julai) hanya kerana jumpa polis, itu saja saya tinggalkan, selain jumpa pegawai penyiasat (IO) di sekolah.

“Selepas itu dia (IO) arahkan saya bagi keterangan di IPD Papar dan dari IPD Papar saya kembali ke hospital lawat Zara. Saya tidak terfikir tinggalkan ibu Zara pada masa itu dan saya hanya kembali (ke sekolah) selepas tengah malam, tapi patutkah ini saya terima,” katanya lagi.

Beliau turut menyatakan kekesalannya terhadap tuduhan yang dilemparkan kepada seorang pelajarnya yang disifatkannya sebagai kejam kerana bertentangan dengan perkara yang sebenar.

“Saya sendiri yang berurusan dengan polis, bawa siapa-siapa untuk memberi keterangan, termasuk menyerahkan audio Kak M dan saya maklumkan kepada polis siapa Kak M ini dan saya tegaskan di sini Kak M itu bukan (nama pelajar), kenapa dia yang dikecam, diviral.

“(Dia) (nama pelajar) budak yang baik, hampir setiap tahun dia pelajar hafazan saya setiap tahun. Tahun lepas saya buat program Halaqah Huffaz bagi mengisi program selepas UASA (Ujian Akhir Sesi Akademik).

“Saya buat program Halaqah Huffaz dan dialah antara tiga pelajar terawal selesaikan hafazan dia dan saya (saksi menangis), bagi saya tuduhan terhadap dia kejam hanya kerana dia pertama jumpa Zara di sana, tapi ini yang dia dapat,” katanya.

Azhari yang berkhidmat di sekolah itu sejak 2020 hingga kini, turut meluahkan perasaan terkesan apabila mengetahui Zara pernah menyebut subjek diajarnya dalam diarinya.

“Saya pernah beritahu dalam kelas, ‘kalau kamu tak nak tutup aurat betul-betul dan tak pakai stokin tangan, lebih baik kamu baling batu pada ayah kamu.’ Lepas tu, Zara mula pakai stokin tangan putih. Saya masih ingat.

“Saya juga persoalkan dan tuntut keadilan. Kenapa bila kita cuba cari keadilan, kami pula yang kena ugut,” katanya lagi.

Proses inkues bersambung lagi petang ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button