
Individu dipercayai menyamar polis larikan Pamela – Peguam
PUTRAJAYA – Wanita yang hilang ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya 9 April lalu dipercayai dilarikan individu yang menyamar sebagai anggota polis.
Peguam N Sivananthan berkata, beliau melihat laporan polis yang dibuat oleh pemandu e-hailing yang membawa mangsa, Datin Seri Pamela Ling Yueh pada hari kejadian, lapor portal Mkini.
“Berdasarkan laporan polis yang dibuat pemandu e-hailing itu, kenderaannya dipintas ketika mereka hampir tiba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
“Ketika melalui Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya yang terletak bersebelahan dengan bangunan SPRM, tiga kenderaan iaitu dua daripadanya berwarna biru gelap dan putih menghentikan keretanya.
“Seorang lelaki memakai vest polis dan seorang wanita berpakaian seragam polis kemudian meminta Pamela mengikut mereka,” katanya.
Sivananthan turut mendakwa, individu berkenaan turut mengambil MyKad pemandu e-hailing itu dan membawa Pamela pergi sebelum pemandu terbabit membuat laporan di Balai Polis Presint 7, Putrajaya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan terbabit, namun mengesahkan siasatan sedang dijalankan.
Laporan media sebelum ini menyebut, Pamela hilang ketika dalam perjalanan untuk memberikan keterangan kepada SPRM sekitar pukul 1.30 tengah hari hingga 2.10 petang.
SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan, Pamela dipanggil hadir ke ibu pejabatnya pada tarikh berkenaan, namun tidak muncul seperti dijadualkan.
Peguamnya juga membuat laporan polis pada hari yang sama.
Menurut kenyataan itu, tanggungjawab untuk mengesan keberadaan Pamela kini terletak di bawah bidang kuasa polis dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi serta membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |