
[VIDEO] Imigresen tumpaskan kegiatan warga Myanmar bekal dokumen palsu
Bekalkan pasport dan lesen memandu Myanmar, sijil nikah, kad UNHCR, kad CIDB dan permit kerja sementara
PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen (JIM) berjaya menumpaskan kegiatan membekalkan dokumen palsu kepada warga Myanmar dan Bangladesh dengan penangkapan seorang lelaki dipercayai warga Myanmar, baru-baru ini.
Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, lelaki dikenali sebagai ‘Ayake’ itu berjaya ditahan dalam satu operasi khas yang dijalankan di Kuala Lumpur pada 13 Julai lepas.
Beliau menambah, ‘Ayake’ menawarkan dokumen palsu seperti pasport Myanmar, permit kerja sementara, sijil nikah Myanmar, kad UNHCR, kad CIDB dan ​​lesen memandu Myanmar pada harga antara RM200 dan RM1,000.
“(Setelah ditahan) Semakan mendapati suspek sendiri memegang pasport Myanmar palsu.
“Dia menawarkan perkhidmatannya melalui (aplikasi) WhatsApp,” kata Ruslin dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat Imigresen, di sini hari ini.
Ruslin seterusnya menjelaskan, kegiatan suspek telah dipantau selama dua bulan sebelum operasi menangkapnya dilaksanakan.
“Ketika ditahan, suspek cuba melarikan diri.
“Pemeriksaan ke atas suspek berjaya menemukan satu pelekat permit kerja sementara, manakala pemeriksaan pada kereta yang dipandunya turut menemukan dua pasport Myanmar, wang tunai RM26,000 dan satu lagi pelekat permit kerja sementara,” kata Ruslin lagi.
Suspek kemudian membawa anggota Imigresen ke sebuah unit kediaman di Sentul yang membawa kepada penemuan 26 kad UNHCR, dua kad CIDB, ​​tiga permit kerja sementara, lapan pasport Myanmar dan satu lesen memandu Myanmar yang kesemuanya dipercayai palsu, dan wang tunai RM1,500.
“Suspek menumpukan operasinya di kawasan Lembah Klang dan mengutamakan pelanggan dari Myanmar dan Bangladesh,” katanya sambil menambah bahawa ‘Ayake’ dipercayai bergiat secara solo dan memperoleh keuntungan dianggarkan sekitar RM360,000 setahun.
Suspek kini ditahan di depoh Imigresen Putrajaya bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





