BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Imigresen tumpas sindiket pemalsuan dokumen, empat warga asing ditahan

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen dalam satu Operasi Khas yang dijalankan di dua lokasi berasingan semalam.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, operasi tersebut melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan Pasukan Taktikal Khas (PASTAK).

Beliau berkata, pasukan operasi telah diatur gerak untuk menyerbu sebuah premis di sekitar Petaling Jaya, Selangor dan sebuah premis di Jalan Alor, Kuala Lumpur.

“Berdasarkan aduan dan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi telah berjaya mengesan dan menahan seorang lelaki warganegara India dan seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia antara 28 hingga 31 tahun yang disyaki sebagai ‘dalang utama’ sindiket berkenaan.

“Kesemua yang ditahan tidak memiliki Pas yang sah untuk berada di negara ini.

“Turut ditahan semasa pemeriksaan adalah dua orang lelaki warganegara Bangladesh berusia 28 tahun yang dipercayai sebagai ahli sindiket,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil serbuan, pasukan operasi merampas empat naskhah pasport India milik orang lain, senaskhah pasport India disyaki palsu, senaskhah pasport Pakistan milik orang lain, senaskhah pasport Pakistan disyaki palsu, senaskhah pasport Bangladesh, 26 keping Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) disyaki palsu, dua keping kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) disyaki palsu, dua buah komputer riba dan sebuah pencetak.

Mengulas lanjut, Ruslin Jusoh berkata,
modus operandi sindiket adalah menyasarkan warganegara dari Bangladesh, India dan Pakistan yang mempunyai masalah seperti tiada dokumen pengenalan diri dan visa.

“Suspek akan mencari dan menghampiri mereka yang bermasalah ini dan kemudiannya menawarkan perkhidmatan yang disediakan seperti pasport palsu, PLKS palsu dan kad CIDB palsu.

“Sindiket ini dipercayai telah beroperasi selama satu tahun dan mengenakan bayaran sekitar RM1,000 bagi setiap naskhah pasport, RM500 bagi setiap PLKS dan kad CIDB,” jelasnya.

Kesemua PATI ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button