JENAYAH & MAHKAMAH

Imigresen tumpas satu lagi sindiket pemerdagangan manusia di Kelantan

KOTA BHARU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu lagi sindiket penyeludupan manusia melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi khas pada 24 Februari lalu di sekitar Kota Bharu, Kelantan.

Dalam operasi disertai 12 orang anggota dari Pasukan Taktikal Khas Imigresen (PASTAK) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan JIM Kelantan itu, 10 warga Myanmar ditahan.

Ketua Pengarah Imigren, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kejayaan terbaru itu adalah rentetan daripada penangkatan ‘Geng Bob’ pada 3 Februari lalu.

“Risikan kita berjaya mengesan sebuah kenderaan dipercayai dipandu tekong darat sebelum berhenti di sebuah stesyen minyak berhampiran Wakaf Che Yeh.

“Serbuan berjaya menahan suspek yang dikenali sebagai Ali berketurunan etnik Rohingya dan dipercayai dalang utama sindiket ini.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kereta Perodua Kelisa yang dipandu suspek menemui tiga orang wanita dan seorang lelaki warganegara Myanmar berumur antara 19 hingga 21 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anggota penguatkuasa memeriksa salah sebuah rumah yang didiami dalang sindiket pemerdagangan manusia di Kelantan. Foto : JIM

Ruslin berkata, lokasi berkenaan dipercayai dijadikan transit sebelum warga Myanmar berkenaan dihantar ke Kuala Lumpur.

Katanya, pasukan kemudian bergerak dan melakukan serbuan di rumah Ali di sekitar Pengkalan Kubor, Kota Bharu dan menahan orang kanannya yang juga warga Myanmar dikenali sebagai Rahim.

Turut ditahan 4 lagi lelaki warganegara Myanmar berumur lingkungan 16 hingga 27 tahun.

“Anggota pasukan juga menemui sepucuk pistol angin dan merampas sebuah kereta Perodua Viva yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu,” katanya.

Ruslin berkata, sindiket dipercayai telah beroperasi selama enam bulan dan mengenakan bayaran antara RM500 hingga RM1,000 untuk seorang PATI.

Kesemua 10 orang PATI termasuk dua lelaki etnik Rohingya yang disyaki tekong darat dibawa ke pejabat JIM Kelantan untuk tujuan siasatan.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button