
Imigresen serbu penempatan haram warga asing
Umpama kampung halaman, lengkap bekalan air dan letrik, kemudahan kedai runcit
KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), tengah malam tadi menyerbu sebuah kawasan penempatan haram di Sentul, dekat sini.
Penempatan tersebut yang sebahagian besarnya didiami etnik Rohingya turut dilengkapi kemudahan elektrik dan air, dan mereka turut mempunyai kawasan bercucuk tanam dan pembelaan haiwan selain kemudahan kedai runcit sendiri.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi bersepadu yang bermula pada pukul 12.30 tengah malam tadi itu turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membabitkan kekuatan 229 pegawai serta anggota.
Hasil operasi, seramai 124 warga asing ditahan untuk pemeriksaan terdiri daripada warga Myanmar, Indonesia dan India.
“Pemeriksaan mendapati, terdapat lebih 20 rumah dan lima unit kedai runcit dibina yang menjual barangan keperluan penghuni seperti sirih kapur serta minyak masak paket bersubsidi.
“Hasil soal siasat awal, warga asing terbabit mendakwa menyewa rumah ini daripada warga tempatan dengan kadar sewa RM400 sebulan. Malah, ada mendakwa sudah tinggal di sini sejak lebih tiga hingga empat tahun lalu.
“Semakan mendapati, kawasan berhampiran sebelum ini adalah kawasan setinggan yang didiami penduduk tempatan tapi kini berlaku pencerobohan tanah dan rumah disewakan kepada warga asing,” katanya dalam sidang media selepas menyertai operasi berkenaan.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha.
Roslin kemudiannya menambah, semakan mendapati kawasan penempatan haram itu dibina atas tanah milik DBKL dan pihaknya dengan kerjasama agensi terbabit akan mengesan warga tempatan yang disyaki membina penempatan berkenaan serta menyewakan kepada warga asing.
Beliau berkata, kesemua warga asing yang ditahan akan dijalankan proses dokumentasi dan siasatan lanjut oleh pihak JIM Kuala Lumpur.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








