JENAYAH & MAHKAMAH

Imigresen serbu penempatan di Hentian Kajang, tahan 288 PATI

KAJANG – Seramai 288 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dalam serbuan di Hentian Kajang, malam tadi.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha, pendatang asing yang ditahan terdiri daripada 242 lelaki dan 46 wanita dari Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Vietnam, Pakistan, Nepal, India, Sri Lanka serta Sudan.

Operasi yang bermula pukul 7.30 malam itu dilaksanakan secara bersepadu dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Lokasi serbuan merupakan enam blok bangunan rumah kedai lima tingkat yang menempatkan pelbagai premis perniagaan serta kediaman untuk pekerja asing.

“Semua yang ditahan berusia 18 hingga 60 tahun dan disyaki melakukan kesalahan antaranya tiada dokumen pengenalan diri, langgar syarat pas, tinggal lebih masa, pemegang kad yang tidak diiktiraf dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen,” katanya, malam tadi.

Tambahnya, kebanyakan pendatang asing yang ditahan bekerja di premis makanan dan kilang berhampiran, dengan semuanya dibawa ke Jabatan Imigresen Putrajaya untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke Depot Imigresen Semenyih.

Selain itu, katanya, ada juga yang disyaki bekerja di sebuah premis perjudian di bangunan terbabit.

Jafri berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti wujudnya aktiviti perjudian menjadikan pendatang tanpa izin sebagai pekerja.

Beliau turut menasihatkan majikan warga tempatan supaya tidak menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin kerana tindakan tegas akan diambil sekiranya melakukan kesalahan di bawah Akta 155, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button