Jenayah & Mahkamah

Imigresen serbu ‘mini Dhaka’, 561 PATI ditahan

BERANANG – Seramai 561 warga asing ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen di Pangsapuri Baiduri di Bandar Tasik Kesuma, di sini tengah malam tadi.

Operasi di lokasi yang turut dikenali sebagai ‘mini Dhaka’ itu bermula pada pukul 12 tengah malam dan membabitkan lebih 500 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak.

Ia dijalankan dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, serbuan itu dijalankan susulan aduan diterima daripada penduduk dan tujuh blok pangsapuri diperiksa.

“Daripada 752 warga asing diperiksa, seramai 561 warga asing terdiri daripada 447 lelaki, 87 wanita serta 27 kanak-kanak berusia antara tiga bulan hingga 55 tahun ditahan.

“Warga asing yang paling ramai ditahan adalah Bangladesh iaitu 205 orang, Myanmar (200), Nepal (65), Indonesia (43), Pakistan (38), Sri Lanka (3), India (2), Kemboja (2), Seirra Leon (2) dan Cameroon (1),” katanya kepada pada sidang media, sejurus operasi.

Menurutnya, semasa operasi dijalankan, ada segelintir warga asing cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan anggota bertugas yang melakukan kepungan di kawasan berkenaan.

“Maklumat diperoleh pasukan operasi mendapati hampir 80 peratus kediaman di pangsapuri ini didiami warga asing yang mendatangkan kebimbangan terhadap penduduk tempatan.

“Kita terima aduan daripada penduduk termasuk mereka yang gelarkan kawasan ini sebagai ‘mini Dhaka’.

“Majoriti warga asing yang tinggal di sini menyewa rumah dengan bayaran antara RM600 hingga RM800 sebulan dengan ada antaranya didiami sehingga 10 orang,” katanya lagi.

Ruslin berkata, pangsapuri terbabit adalah antara 220 lokasi hotspot warga asing di seluruh negara dengan Selangor mencatatkan kawasan panas paling banyak.

Katanya, kesemua tangkapan berkenaan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk pemeriksaan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button