JENAYAH & MAHKAMAH

Hukuman gantung 6 bekas penuntut UPNM diketepikan, diperintah jalani penjara 18 tahun

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan hukuman gantung terhadap enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) atas kesalahan membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain dan memerintahkan mereka dijel 18 tahun.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohamed Hashim memutuskan demikian selepas mengetepikan hukuman Mahkamah Rayuan dengan mengembalikan keputusan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2021 lalu.

Ketika membaca keputusan berkenaan, beliau yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata, mahkamah mendapati mereka bersalah mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat untuk membunuhnya.

Pada 2 November 2021, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah (kini Hakim Mahkamah Rayuan), menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut atas tuduhan mencederakan Zulfarhan tanpa niat membunuh.

Dalam pada itu, lima daripada enam tertuduh (kecuali Mohamad Shobirin) dikehendaki menjalani hukuman penjara tiga tahun atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Bagaimanapun mahkamah memerintahkan hukuman bagi kedua-dua pertuduhan itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap iaitu 1 Jun 2017.

Lima lelaki itu sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, sementara Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Hakim mendapati semua tertuduh itu bersalah atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh, mengikut Seksyen 304(a) kanun sama yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.

Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 kanun sama dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button