BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Hasrat jalin hubungan sejenis melalui aplikasi berakhir samun

SERDANG – Hasrat seorang lelaki untuk bertemu kenalan rakan sejenis melalui aplikasi janji temu membawa padah apabila dipukul dan disamun oleh sekumpulan lima lelaki di Pusat Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, di sini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, mangsa yang kerugian RM67,000 tampil membuat aduan pada 12 Mac lalu selepas wang simpanannya dipindahkan secara paksa dan turut dibelasah oleh lima suspek.

Katanya, pengadu yang merupakan seorang pendandan rambut berusia 41 tahun mendakwa berkenalan dengan suspek melalui aplikasi janji temu sebelum bersetuju bertemu suspek di rumah sewa suspek.

“Pada pukul 7.30 malam Ahad lalu, pengadu ke rumah suspek dan semasa berada di kediaman berkenaan pengadu menggunakan tandas.

“Selepas keluar, pengadu dapati dua lelaki tidak dikenali berada dalam rumah dan lelaki itu bersama suspek kemudian mengikat kedua tangan serta kaki pengadu.

“Salah seorang daripada mereka mengambil kayu dan memukul badan pengadu, manakala seorang lagi mengambil telefon bimbit pengadu lalu memindahkan wang berjumlah RM67,000 ke akaun rakan suspek.

“Suspek turut mengugut pengadu untuk tidak melaporkan kejadian sebelum melepaskan pengadu pulang semula ke rumahnya,” katanya dalam kenyataan.

Bertindak atas laporan, beliau berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Serdang yang menjalankan siasatan berjaya menahan lima lelaki termasuk pemilik akaun bank yang menerima wang mangsa.

“Polis merampas beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes dan ujian saringan air kencing dijalankan mendapati semua suspek negatif bahan terlarang,” katanya.

Anbalagan berkata, siasatan juga mendapati suspek terlibat dalam dua lagi kes yang menggunakan modus operandi sama dan kedua-duanya tidak dilaporkan.

“Modus operandi digunakan adalah mencari mangsa melalui media sosial, berjanji temu di tempat ditentukan suspek kemudian mengikat mangsa sebelum memindahkan wang mangsa ke akaun salah seorang suspek selain turut mengugut supaya tidak melaporkan kepada polis,” katanya.

Beliau berkata, empat suspek masih direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan lanjut manakala seorang lagi suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan, Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata api tiruan serta Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana menyimpan bahan lucah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama individu yang pernah menjadi mangsa untuk tampil membuat laporan berhubung kejadian di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nursabrina Ahmad Jafri di talian 03-80742222.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button