JENAYAH & MAHKAMAH

Halang ambulans, pemandu Triton sedang dikesan

KOTA BHARU – Polis sedang mengesan pemandu pacuan empat roda yang dipercayai menghalang laluan ambulans di persimpangan Padang Lembek, Ketereh, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pemandu ambulans juga diminta tampil untuk membantu siasatan ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Katanya, ia susulan satu rakaman video berdurasi 46 saat tular di aplikasi TikTok memaparkan pemandu Mitsubishi Triton menghalang laluan ambulans walaupun siren kecemasan dibunyikan beberapa kali, 7 petang, semalam.

“Sehubungan itu, polis meminta pemandu pacuan empat roda dan pemandu ambulans yang terbabit hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Kota Bharu.

“Tindakan terhadap pemandu Mitsubishi Triton boleh diambil mengikut Kaedah 9(2) LN166/59 iaitu tidak memberi laluan kepada ambulans dan dihukum mengikut Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas yang menekankan kerjasama, berhemah dan berhati-hati ketika berada di jalan raya.

“Polis menggesa orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kota Bharu, Asisten Superintendan Boon Chun Yee di talian 09-7752200 atau tampil ke IPD Kota Bharu atau balai berdekatan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button