BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Guru tidak mengaku bersalah sebar berita palsu kematian Allahyarham Zara Qairina

SEPANG – Guru Bahasa Inggeris (BI) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebarkan maklumat palsu berhubung kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, melalui aplikasi TikTok awal bulan ini.

Tertuduh, Siti Hajar Aflah Sharuddin, 39, seorang ibu tunggal yang mempunyai tiga anak, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memuat naik kenyataan palsu di akaun TikTok miliknya “SHA_Abrienda” pada 6 Ogos lalu, pada jam 1.20 petang.

Hantaran berkenaan kemudian dilihat seorang anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), Sepang, yang dikhuatiri boleh menimbulkan kegentaran awam serta mendorong orang lain melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Kes dikendalikan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam bela, Zaiful Bahrain, memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya seorang guru di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dengan pendapatan kira-kira RM5,000 sebulan, menanggung tiga anak yang masih bersekolah serta ibu bapa yang uzur.

“Tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah, menyerah diri kepada polis dan hadir sendiri ke mahkamah. Maka tiada risiko beliau melarikan diri,” katanya.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Mohd Izhar, memohon jumlah jaminan yang setimpal memandangkan kesalahan berkenaan boleh menimbulkan kegusaran awam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, polis sebelum ini membuka 15 kertas siasatan berhubung penyebaran berita palsu mengenai kematian Zara Qairina termasuk dakwaan kononnya mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh.

Pada 13 Ogos lalu, seorang wanita berusia 39 tahun turut ditahan di Rawang kerana dipercayai menyebarkan maklumat palsu berkaitan kes sama sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sebelum ini memaklumkan guru terbabit mengakui hantaran TikTok mengenai kematian Zara Qairina hanyalah dijadikan sebagai “konten”.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button