JENAYAH & MAHKAMAH

Guru rugi RM890,000 ditipu sindiket ‘phone scam’

GEORGETOWN – Seorang guru wanita kerugian RM890,000 selepas diperdaya sindiket penipuan telefon atau ‘phone scam’ melalui individu yang menyamar sebagai pegawai bank dan anggota polis.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, mangsa berusia 59 tahun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut semalam selepas menyedari dirinya ditipu.

Menurutnya, kejadian bermula apabila mangsa menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil sebuah bank dan mendakwa berlaku penyalahgunaan kad kredit atas namanya.

“Mangsa menafikan mempunyai kad kredit tersebut sebelum panggilan itu disambungkan kepada seorang lagi individu yang mendakwa sebagai pegawai polis dari Balai Polis Johor.

“Suspek kemudian menuduh mangsa terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram dan diarahkan menyerahkan semua wang miliknya kononnya untuk tujuan audit,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Tambah beliau, mangsa turut diugut kononnya waran tangkap akan dikeluarkan jika gagal mematuhi arahan tersebut.

“Kerana takut mangsa membuat sebanyak 27 transaksi pemindahan wang ke 23 akaun bank berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM890,000 dari 19 Mei hingga 5 Jun lalu,” katanya lagi.

Mangsa hanya menyedari telah diperdaya selepas memaklumkan perkara itu kepada rakannya yang kemudian menasihatinya membuat laporan polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, Mohd Alwi mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan panggilan telefon mencurigakan, khususnya yang meminta maklumat peribadi atau butiran perbankan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button