BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

GISBH : AMANAH gesa pihak berkuasa agama guna Fatwa 1994

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa pihak berkuasa agama di semua negeri menguatkuasakan Fatwa 1994 kepada semua ahli Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) supaya kembali kepada syariat sebenar Islam.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, sekiranya didapati ada amalan dan kepercayaan akidah yang terpesong dalam kalangan pengikut kumpulan itu, mereka perlu bertaubat.

Katanya, menurut Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam sejak awal 2018, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) telah memaklumkan bahawa GISB adalah ‘jelmaan’ daripada Rufaqa dan sebelumnya Al Arqam yang telah diisytiharkan sebagai sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Jelasnya, kerajaan menerusi Majlis Fatwa Kebangsaan pada 5 Ogos 1994 telah mengharamkan kumpulan Al-Arqam yang mana fahaman tersebut juga telah diisytiharkan sebagai bertentangan syariah Islam dan syirik.

“Sudah tiba masanya semua pihak bergabung tenaga bagi memelihara keselamatan aqidah dan keselamatan orang awam yang dilakukan oleh ajaran sesat Islam bertopengkan simbol agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Mujahid berkata, AMANAH memandang serius isu GISBH dan dakwaan susulan dakwaan eksploitasi kanak-kanak dan salah laku seksual seperti liwat dan meliwat.

“AMANAH dengan ini menuntut ke atas para penjenayah yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan pada kadar segera dan menghukum mereka mengikut lunas-lunas perundangan negara.

“Perbuatan mengeksploitasi atas nama agama dan menggunakan kanak-kanak ini untuk mengutip derma juga harus dihentikan segera termasuk ke atas pihak lain,” jelasnya.

Pada masa yang sama, pihaknya yakin dengan kecekapan pihak polis dan institusi perundangan negara untuk mengadili isu GISBH mengikut prinsip undang-undang yang ada.

Polis baru-baru ini melakukan pemeriksaan ke atas rumah-rumah amal yang dinaungi GISBH dan menyelamatkan 392 kanak-kanak susulan laporan berlaku eksploitasi dan jenayah seksual.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button