Editor media maut kemalangan motosikal berkuasa tinggi
PETALING JAYA – Seorang editor sebuah agensi media tempatan maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 10.49 malam.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 10.05 malam ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Ducati dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bangsar dari Tapah.
“Setibanya di Kilometer 457.1 NKVE, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum motosikalnya terbabas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, mangsa kemudian melanggar penghadang jalan dan terjatuh, mengakibatkan kecederaan parah.
Keadaan cuaca ketika kejadian dilaporkan baik, permukaan jalan rata serta kawasan tersebut mempunyai pencahayaan yang mencukupi.
Mangsa yang berusia 52 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Sungai Buloh yang dikejarkan ke tempat kejadian.
Menurut Shamsudin, mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.
Orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka atau maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-737 8704.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








