JENAYAH & MAHKAMAH

Dua warga Myanmar ditahan disyaki pukul lelaki hingga maut di Kampung Pandan

KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga Myanmar ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam insiden memukul seorang lelaki tempatan hingga maut dalam kejadian di Lorong 5, Kampung Pandan, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 12.01 tengah malam sebelum anggota dikerahkan ke lokasi.

Beliau berkata, semakan di lokasi mendapati mangsa berusia 22 tahun ditemukan terbaring di atas jalan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan serius.

“Mangsa mengalami pendarahan pada kepala serta luka di tapak tangan kiri. Mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia pada jam 2.33 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan laporan tersebut, polis menahan dua suspek yang dipercayai terlibat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Permohonan reman ke atas kedua-dua suspek dibuat selama tiga hari sehingga esok mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya lagi.

Terdahulu, tular rakaman video memaparkan pergaduhan melibatkan beberapa individu bersenjatakan objek dipercayai berlaku di kawasan Kampung Pandan.

Kes tersebut kini dalam siasatan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button