Polis tumpaskan dua suspek kongsi gelap di Nilai
NILAI – Dua suspek yang ditembak mati di Bandar Baru Nilai di sini kelmarin disahkan terbabit dalam kumpulan kongsi gelap aktif dengan lebih 70 kes samun di empat negeri sejak tahun lalu.
Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, hasil siasatan mendapati suspek terbabit dalam kumpulan jenayah terancang yang mensasarkan rumah kediaman, premis pengumpulan barang syarikat penghantaran serta kedai serbaneka.
“Suspek dipercayai mensasarkan premis tertentu untuk disamun dan aktiviti jenayah mereka dilaporkan aktif sejak tahun 2023,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Datuk Fadil, kumpulan itu aktif beroperasi di Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah RM1 juta.
Polis kini giat memburu saki-baki ahli kumpulan kongsi gelap yang mempunyai kaitan dengan dua suspek yang maut itu.
“Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, dua lelaki tempatan berusia 29 dan 40 tahun ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis di kawasan parkir bawah tanah kondominium berkenaan.
“Suspek berusia 40 tahun mempunyai 76 rekod jenayah membabitkan keganasan dan dadah, manakala seorang lagi suspek mempunyai 11 rekod jenayah,” tambahnya.
Datuk Fadil memaklumkan suspek dikatakan menyewa kondominium tersebut sebagai lokasi persinggahan, selain menggunakan beberapa lokasi lain sebagai tempat penginapan mereka.
Dalam serbuan itu, polis turut menemui dua senjata api iaitu sepucuk pistol separa automatik dan pistol revolver yang dipercayai digunakan oleh suspek sepanjang aktiviti jenayah mereka.
Usaha membanteras kumpulan jenayah terancang akan terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






