BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Dua suspek guna wang palsu RM100 diburu polis

TAMPIN – Polis sedang memburu dua individu yang disyaki menggunakan wang kertas palsu bernilai RM100 bagi membuat pembayaran di dua premis perniagaan berasingan di sekitar Pekan Tampin, semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, kejadian terbongkar selepas dua laporan diterima daripada pihak bank dan seorang peniaga kedai makan berhubung penemuan wang yang dipercayai palsu.

“Laporan pertama diterima daripada pihak bank selepas pekerja sebuah premis menjual air mendepositkan wang hasil jualan ke dalam akaun syarikat.

“Bagaimanapun, mesin pengimbas wang di bank berkenaan mengesan satu keping wang kertas RM100 yang disyaki palsu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, laporan kedua pula dibuat oleh pemilik sebuah gerai makanan yang hanya menyedari menerima wang palsu setelah selesai membuat kiraan hasil jualan harian.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua kes dipercayai melibatkan dua individu berbeza yang menggunakan modus operandi hampir sama iaitu menyasarkan peniaga kecil yang sibuk dan kurang memberi perhatian ketika menerima wang tunai,” ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan kerana menggunakan wang palsu sebagai tulen, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai dan para peniaga supaya lebih berhati-hati ketika menerima wang tunai, terutama wang kertas dalam denominasi besar.

“Sekiranya terdapat keraguan terhadap ketulenan wang diterima, mereka dinasihatkan segera melaporkan kepada pihak berkuasa atau mendapatkan pengesahan di bank berdekatan,” tegasnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button