Dua remaja maut motosikal rempuh belakang lori di Kota Tinggi
KOTA TINGGI – Dua remaja lelaki maut dalam kemalangan membabitkan motosikal yang mereka tunggang dengan sebuah lori di Kilometer 60.5 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 1.24 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Muhammad Aisy Iqbal Hairolazuan, 18, dan Muhammad Aiman Farhan Halim, 19, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila dua motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang mangsa secara berasingan melanggar bahagian belakang sebuah lori yang sedang bergerak lurus.
“Lori terbabit dipercayai terus beredar dari tempat kejadian selepas kemalangan berlaku.
“Buat masa ini, identiti pemandu lori masih belum dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook pagi tadi.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk proses bedah siasat.
Menurut Yusof, pihaknya kini giat mengesan pemandu lori terbabit bagi membantu siasatan kes.
Beliau turut menyeru orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian agar menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Fairuz Abd Malek di talian 012-7415886.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







