JENAYAH & MAHKAMAH

Dua lelaki pembekal barang kemas dirompak, rugi RM1 juta

KUALA PILAH – Dua lelaki dipercayai pembekal barang kemas berdepan detik cemas apabila barangan bernilai lebih RM1 juta yang dibawa mereka dirompak di belakang sebuah kedai emas, di sini hari ini.

Pengurus kedai emas itu Noorhasliza Abd Rahman berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premisnya, kejadian yang berlaku kira-kira 11 pagi tadi menunjukkan kedua-dua mangsa yang membawa dua beg telah diserang dua lelaki memakai topeng hitam.

“Kejadian berlaku di luar premis ini, dua individu itu adalah pembekal barang kemas, memang keadaan panik dan ia merupakan kejadian pertama berlaku di sini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kedainya.

Noorhasliza berkata, laporan polis telah dibuat dan rakaman CCTV itu telah diserahkan untuk siasatan lanjut.

Katanya, ketika insiden itu semua pekerja berada di dalam kedai melayan beberapa pelanggan.

Tinjauan pemberita di kawasan itu mendapati kedai emas berkenaan beroperasi seperti biasa dan pihak polis melakukan sekatan jalan raya di beberapa laluan.

Berdasarkan rakaman berdurasi 34 saat itu, sebuah kereta berwarna perak dilihat berhenti berhampiran mangsa yang baru keluar daripada kereta, sebelum suspek yang memegang senjata kelihatan seperti parang turun lalu menyerang mereka.

Mangsa dilihat cuba menyelamatkan diri, namun dikejar dan diserang serta suspek merampas beg yang dibawa mereka, sebelum melarikan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof mengesahkan perkara itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan. -BERNAMA

 

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button