BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Dua lelaki ditahan muat naik ciapan hasutan, ugutan ke atas PM

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua lelaki berusia 37 dan 43 tahun selepas disyaki mengendalikan akaun X yang memuat naik ciapan berunsur hasutan serta ugutan jenayah berkaitan serangan Israel ke atas kediaman Perdana Menteri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kedua-dua individu terbabit dikenal pasti sebagai pemilik akaun @ChongKahtze dan @iFactoReal.

Menurut beliau, akaun @ChongKahtze dikesan menyiarkan kenyataan mendakwa Malaysia bakal diambil alih oleh golongan ekstremis sehingga mencetuskan revolusi, manakala @iFactoReal pula memuat naik komen berkaitan serangan Israel terhadap kediaman Perdana Menteri.

“Siasatan kes pertama dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Bagi kes kedua, siasatan dibuat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mahkamah membenarkan suspek pertama direman selama dua hari bermula hari ini, manakala suspek kedua pula direman empat hari sehingga Khamis.

Kumar menegaskan, PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kegentaran awam melalui kenyataan berbentuk hasutan atau ugutan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang mengancam keharmonian masyarakat di negara ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button