
Dua jasad dengan kesan kelar di leher disahkan ibu, anak perempuan
ALOR SETAR – Dua jasad yang ditemukan di dalam longkang belakang sebuah bangunan terbiar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, di sini petang semalam adalah seorang wanita dewasa dan anak perempuannya.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Nor Salawati Saad berkata, kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 34 dan 10 tahun itu ditemukan dengan kesan kelar pada leher.
“Jasad dua beranak dipercayai warga asing itu ditemukan orang awam yang kemudian menghubungi polis pada pukul 5.40 petang tadi (semalam).
“Kedua-dua mangsa ditemukan di dalam longkang kecil tanpa sebarang dokumen pengenalan diri. Satu mayat didapati dalam keadaan terlentang dan satu lagi tertiarap,” katanya semalam.
Berdasarkan risikan, seorang lelaki warga asing berusia 43 tahun yang merupakan suami kepada mangsa berjaya ditahan di sebuah masjid di Bukit Pinang, di sini pada pukul 9 malam tadi.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Alor Setar pada esok (hari ini) bagi tujuan permohonan reman untuk meneruskan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujarnya.
Menurutnya, mayat dua beranak itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini untuk bedah siasat.
Tambahnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif kejadian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





