Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Dua ditahan KPDN urus premis jualan cermin kenderaan ‘tiruan’

KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga tempatan dipercayai bertanggungjawab menjual cermin kenderaan tiruan ditahan dalam serbuan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di empat premis di Lembah Klang, pada 9 Mei lalu.

KPDN dalam satu kenyataan berkata, serbuan ke atas tiga premis di Petaling Jaya, Selangor dan Kepong, Kuala Lumpur itu dilakukan selepas menerima aduan daripada pemilik cap dagangan berdaftar dan risikan yang dilakukan oleh pihaknya.

Hasil pemeriksaan ke atas semua premis terbabit menemukan sejumlah 153 keping cermin hadapan kenderaan yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah mengikut Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].

“Kesemua cermin hadapan kenderaan tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM140,200.00.

“Dua individu lelaki, warga tempatan yang mengaku bertanggungjawab ke atas premis terbabit, berumur 20 tahun dan 31 tahun ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

Anggota KPDN memeriksa cermin kereta dipercayai tanpa cap dagangan yang sah di salah sebuah premis di Lembah Klang 9 Mei lalu.

Kesalahan di bawah Akta 815 memperuntukkan, bagi kesalahan dilakukan individu, denda maksimum RM10,000 boleh dikenakan untuk kesalahan pertama manakala RM20,000 untuk kesalahan kedua dan selanjutnya atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan dilakukan syarikat, denda maksimum sebanyak RM15,000 boleh dikenakan untuk kesalahan pertama, RM30,000 untuk kesalahan kedua dan selanjutnya atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu KPDN berkata, syarikat tersebut juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat pelucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan cap dagangan.

“Pesalah boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas (15) tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi,” katanya.

Sehubungan itu KPDN memberi peringatan dan amaran kepada mana-mana pihak agar tidak melakukan aktiviti menjual barangan yang tidak mendapat kelulusan dan kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah.

“Penjualan barangan alat ganti kenderaan tidak sah cap dagangan seumpama ini boleh mengancam keselamatan pengguna,” katanya.

Orang ramai boleh membuat aduan mengenai aktiviti penjualan barangan tiruan kepada pihak KPDN bersama butiran yang lengkap dan tepat melalui saluran berikut:
WhatsApp 019-848 8000 / 019-279 4317; Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my; talian 1-800-886-800 dan aplikasi Ez ADU KPDN.

 

 

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button