BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Dua beranak rentung dalam kebakaran, seorang lagi cedera

BUTTERWORTH – Seorang wanita bersama anak angkatnya maut dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah berkembar satu tingkat di Lorong Nakhoda 5, Taman Rathna, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 9.35 pagi itu, seorang lelaki dikenali sebagai Daniel Quyum Kamarozlan, berusia dalam lingkungan 20-an turut cedera selepas dihempap bumbung namun berjaya diselamatkan pasukan bomba.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.41 pagi, sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth dengan bantuan BBP Penanti, Bandar Perda dan Kepala Batas tiba di lokasi pada pukul 10.06 pagi.

“Api berjaya dikawal pada pukul 10.15 pagi, sebelum pasukan menemui mayat seorang wanita berusia 50-an dan anak angkatnya, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, dalam keadaan rentung di ruang tamu berhampiran pintu utama antara pukul 10.21 hingga 10.59 pagi.

“Anak lelaki wanita berkenaan pula ditemui dalam keadaan cedera selepas dihempap bumbung di bahagian pintu dapur,” katanya.

Menurut beliau, semua mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk tindakan susulan.

Kebakaran berkenaan dipadamkan sepenuhnya pada pukul 11.21 pagi, dengan anggaran kemusnahan rumah mencecah 85 peratus.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button