
Doktor palsu warga Bangladesh dicekup Imigresen, KKM
KUALA LUMPUR – Operasi Khas oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya membongkar kegiatan doktor palsu warga Bangladesh yang beroperasi di sekitar ibu kota.
Kegiatan yang dipercayai sudah beroperasi sejak setahun itu berselindung di sebalik kedai makan dan kedai runcit.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 10 orang doktor palsu ditahan
dalam serbuan di 10 lokasi di Jalan Tun Tan Siew Sin, Leboh Pudu dan Jalan Silang pada pukul 11.45 pagi semalam.
Katanya, operasi hasil risikan selama dua minggu itu menahan sepuluh lelaki warga Bangladesh berusia 31 hingga 50 tahun.
“Antara yang ditahan adalah seorang yang memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sektor perkhidmatan, enam PLKS sektor pembinaan, dua tinggal lebih masa manakala seorang lagi tidak mempunyai dokumen sah.
“Serbuan turut merampas peralatan doktor palsu, ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai RM265,192 serta wang tunai RM800 dipercayai hasil rawatan dan jualan ubat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, siasatan awal mendapati suspek menawarkan perkhidmatan rawatan menggunakan ubat-ubatan tidak berdaftar kepada pelanggan warga Bangladesh dengan bayaran RM50 hingga RM200.
Katanya, semua suspek kini ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut, manakala lapan individu lain termasuk dua lelaki warga Bangladesh dan enam wanita tempatan diberi notis hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
“JIM dan KKM menegaskan akan terus bekerjasama mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang melanggar undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.


Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |