Jenayah & Mahkamah

Makan di khalayak ramai bulan Ramadan, lelaki dakwa ditampar dua kali

JOHOR BAHRU – Polis Daerah Johor Bahru Utara sedang menyiasat insiden seorang lelaki yang mendakwa dirinya ditampar dalam satu kejadian yang tular di media sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya mengesan satu video yang dimuat naik di platform X oleh pemilik akaun bingbinge656/elijah.

Makan di khalayak ramai bulan Ramadan lelaki dakwa ditampar dua kali
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Balveer Singh Mahindar Singh

“Video tersebut memaparkan pertengkaran mulut antara dua lelaki di sebuah premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, laporan berkaitan kejadian itu diterima pada 16 Mac sekitar pukul 9.08 malam daripada seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun.

“Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 3.45 petang di sebuah kawasan membeli-belah di sekitar Johor Bahru.

“Mangsa mendakwa dirinya ditampar dua kali di pipi kanan oleh seorang lelaki yang tidak dikenali selepas suspek bertanyakan tentang agamanya dan meminta MyKadnya,” katanya lagi.

Bagaimanapun, tindakan mangsa yang enggan memberikan kad pengenalannya menyebabkan tercetusnya pertengkaran.

“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu, polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07-5563122.

“Jangan melanggar undang-undang, bertindak secara rasional dan serahkan kepada pihak berkuasa. Hindari keganasan, patuhi peraturan,” tegasnya.

Makan di khalayak ramai bulan Ramadan, lelaki dakwa ditampar dua kali

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button