BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Cubaan seludup prekursor RM15 juta tumpas di Pengkalan Balak

ALOR GAJAH – Cubaan licik sindiket dadah menyeludup bahan kimia campuran bernilai hampir RM15 juta berjaya dipatahkan hasil tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan dalam satu operasi di perairan Pengkalan Balak, Melaka, baru-baru ini.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, kejayaan itu merupakan rampasan terbesar tahun ini bagi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan.

pengkalan balak
Antara barang rampasan dipamerkan pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, operasi berkenaan adalah hasil kerjasama Unit Risikan Maritim Negeri bersama Bahagian Perisikan Maritim (MIND) Ibu Pejabat Maritim Malaysia.

“Hasil pemeriksaan pada pukul 9.40 malam menemukan 15 kotak dibalut plastik hitam berisi 179 botol cecair kimia dipercayai digunakan dalam pemprosesan dadah sintetik.

“Rampasan ini dianggarkan bernilai hampir RM15 juta di pasaran gelap dan berpotensi menghasilkan lebih 150 kilogram dadah sintetik yang mampu dibekalkan kepada 300,000 hingga 800,000 penagih,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Turut hadir, Pemangku Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Maritim Norrimi Hassan dan Timbalan Pengarah Siasatan Maritim negeri, Lefternan Komander Maritim Abd Hafis Hussin.

Mohd Zawawi berkata, tiada tangkapan dilakukan kerana pihak sindiket dipercayai melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Kes kini disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 kerana membabitkan bahan kimia terkawal.

“Maritim Malaysia komited mempertingkat rondaan, risikan dan kerjasama strategik bersama agensi keselamatan lain dalam membanteras jenayah rentas sempadan,” katanya lagi.

Beliau turut menggesa komuniti pesisir dan nelayan supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di laut menerusi talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim yang beroperasi 24 jam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button