
Cuba larikan kereta dari depoh tunda, wanita warga China direman dua hari
AMPANG – Gara-gara tidak berpuas hati kereta miliknya dikompaun, seorang wanita warga China direman dua hari selepas ditahan kerana cuba melarikan kenderaannya itu dari depoh tunda kenderaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Taman Melawati dekat sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, wanita berusia 45 tahun itu ditahan di hadapan kediamannya di Taman Melawati, dekat sini pada pukul 7.45 malam hari yang sama.
Terdahulu, Mohd Azam berkata, pihaknya menerima aduan kakitangan MPAJ yang bertugas di depoh terbabit berhubung kejadian itu pada pukul 12 tengah hari, Rabu lalu.
“Pengadu memaklumkan, seorang wanita disyaki pemilik kenderaan telah mengambil kereta jenis Perodua Axia yang ditunda ke situ tanpa membuat pembayaran denda yang dikenakan MPAJ.
“Pengadu cuba mengejar kereta tersebut tetapi tidak berjaya, berikutan itu pengadu merujuk perkara berkenaan kepada pihak MPAJ dan polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Siasatan mendapati, suspek masuk ke depoh bagi mengambil keretanya yang ditunda MPAJ kerana menghalang lalu lintas.
“Susulan tangkapan itu, kita turut merampas sebuah Perodua Axia bersama sebatang anak kunci. Semakan mendapati suspek yang berkahwin dengan seorang lelaki warga tempatan tiada rekod jenayah lampau,” katanya.
Suspek dibenarkan untuk direman selama dua hari bermula kelmarin untuk siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan iaitu ceroboh.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |