JENAYAH & MAHKAMAH

‘Counter setting’: 14 daripada 15 pegawai AKPS berdepan pendakwaan

KUALA LUMPUR – Seramai 14 daripada 15 pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang ditahan kerana dipercayai terbabit dalam sindiket ‘counter setting’ berdepan pendakwaan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan ke atas mereka yang terlibat dalam sindiket itu dijangka selesai tiga minggu lagi, lapor HM Online.

“Kelmarin (Isnin) saya menerima taklimat mengenai perkembangan kes ini. Daripada 15 pegawai yang disiasat, hampir semuanya mempunyai kes kukuh untuk dituduh di mahkamah.

“Siasatan kini memasuki fasa akhir dengan penyediaan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaraya,” katanya, hari ini.

Tambahnya, SPRM tidak akan memanggil sebarang saksi baharu berkaitan kes berkenaan dengan fokus kini adalah untuk menyiapkan kertas siasatan.

“Saya tidak mahu menunggu lama kerana isu penguatkuasaan undang-undang dalam negara adalah amat penting, malah perkara ini berkali-kali ditekankan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya.

Sebelum ini Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan seramai 18 pegawai penguat kuasanya direman SPRM.

Semua pegawai AKPS itu bertugas di Terminal 1 dan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mengulas lanjut, Azam menegaskan isu ‘counter setting’ bukan sekadar membabitkan tangkapan pegawai yang menerima rasuah, namun apa yang lebih penting adalah untuk memulihkan imej negara terutama di pintu masuk antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button