BERITA SEMASADALAM NEGERIJENAYAH & MAHKAMAH

Bot terbalik: Suami isteri masih belum ditemui

KLANG — Sepasang suami isteri masih belum ditemui selepas bot yang mereka naiki bersama empat individu lain dilaporkan terbalik di perairan Tanjung Harapan, petang semalam.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan sejurus selepas pihak berkuasa menerima laporan kejadian pada pukul 5.16 petang.

“Kami segera menggerakkan semua aset dan sumber termasuk kerjasama dengan Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat, serta bantuan bot berhampiran untuk mempercepatkan usaha pencarian.

“Bot dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik di lokasi kira-kira 0.3 batu nautika barat Tanjung Harapan. Dalam kejadian itu, tiga mangsa telah dijumpai dalam keadaan meninggal dunia manakala seorang lagi terselamat.

“Identiti pasangan yang masih hilang dikenalpasti sebagai Gan Hon Tat, 32 dan isterinya Careen Man, 29, yang berasal dari Klang Utama,” katanya dalam satu kenyataan.

Kepten Maritim Abdul Muhaimin memaklumkan, antara mangsa yang berjaya ditemukan ialah anak kepada pasangan terbabit, Darren Gan, berusia tiga tahun, bersama dua individu lain iaitu Cheu Son Hin, 50, dan Fong Yong Sen, 29.

Sementara itu, seorang remaja, Chang Yan Qin Alvin, 17, dilaporkan selamat dalam insiden tersebut.

“Operasi akan disambung semula pada pagi ini, dengan penekanan terhadap kerja-kerja penyelaman yang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat memandangkan terdapat kemungkinan mangsa masih berada di dalam bot yang sebahagian besarnya ditenggelami lumpur,” jelasnya

Maritim Malaysia mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan apabila menjalankan aktiviti di laut, termasuk memakai jaket keselamatan serta memastikan keadaan cuaca dan kendalian bot berada dalam keadaan baik.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden ini diminta untuk menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-3176 0627 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button