BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Bot bawa 90 PATI karam di sempadan Malaysia-Thailand

LANGKAWI – Hasrat sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk menjejakkan kaki ke Malaysia tidak kesampaian apabila bot yang membawa kira-kira 90 orang dari Myanmar, Bangladesh dan etnik Rohingya pecah di laut berhampiran sempadan perairan Malaysia-Thailand, semalam.

Dalam kejadian itu, enam mangsa ditemui selamat manakala seorang wanita Myanmar disahkan maut selepas ditemukan hanyut oleh pasukan penyelamat.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati bot berkenaan merupakan sebahagian daripada kapal besar yang membawa hampir 300 PATI dan dipercayai dikendalikan sindiket penyeludupan manusia antarabangsa.

Menurut beliau, kejadian berlaku ketika kumpulan berkenaan menghampiri sempadan negara selepas sindiket memecahkan mereka kepada tiga bot kecil yang mana setiap satu membawa kira-kira 90 orang.

“Bot yang membawa 90 individu ini dipercayai karam, manakala dua lagi bot masih belum dapat dikesan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro malam ini.

Beliau berkata, setiap individu difahamkan membayar sekitar RM13,000 seorang kepada sindiket berkenaan bagi perjalanan ke Malaysia.

“Kapal itu berlepas sejak sebulan lalu dengan membawa lebih 300 orang. Ada antara mereka menjual tanah di negara asal semata-mata untuk membayar sindiket,” katanya.

Adzli memaklumkan, enam mangsa yang ditemui selamat terdiri daripada warga Myanmar termasuk Rohingya serta Bangladesh.

“Tiga mangsa pertama ialah lelaki Myanmar, manakala tiga lagi yang ditemui petang tadi terdiri daripada dua etnik Rohingya dan seorang warga Bangladesh. Mayat seorang wanita Rohingya pula ditemui hanyut di laut,” katanya.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini sedang giat dijalankan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) bagi mengesan mangsa lain serta dua lagi bot yang masih hilang.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sindiket yang bertanggungjawab,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button