JENAYAH & MAHKAMAH

Belasah rakan sekelas, 4 pelajar ditahan

KAJANG – Polis menahan empat pelajar sekolah selepas bertindak membelasah rakan sekelas mereka di sebuah pusat beli-belah di sini dalam kejadian yang videonya tular di media sosial pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, insiden itu membabitkan mangsa berusia 13 tahun yang ditumbuk dan ditampar dua rakan sekelasnya dalam kejadian pada jam 11 pagi itu.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama rakan sekolahnya berada di pusat beli-belah berkenaan sebelum dipanggil berbincang oleh beberapa pelajar lain.

“Perbincangan itu berhubung rasa tidak puas hati mereka terhadap sikap mangsa sebelum dua daripada mereka bertindak menumbuk dan menampar mangsa.

“Dua pelajar lain pula merakam aksi tersebut menggunakan telefon bimbit sebelum video kejadian itu tular di media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa kemudian mendapatkan rawatan di sebuah hospital berhampiran dan disahkan mengalami kecederaan ringan di bahagian muka.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu daripada mangsa pada jam 12.57 tengah hari semalam.

“Susulan itu, empat pelajar lelaki tempatan, masing-masing berusia 13 tahun ditahan di sekitar Bandar Kajang kira-kira jam 8.35 malam hari sama.

“Mahkamah telah membenarkan keempat-empat suspek direman selama dua hari sehingga 2 Ogos bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323, 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang, termasuk pelajar sekolah.

“Polis Daerah Kajang memandang serius kejadian ini dan menasihatkan semua pelajar agar sentiasa mematuhi peraturan sekolah serta tidak terlibat dengan sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan masa depan mereka,” katanya.

Naazron turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Shahrulhasram Ramli di talian 017-2530380 atau mana-mana balai polis berhampiran

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button