JENAYAH & MAHKAMAH

Belasah pensyarah hingga buta: Wea Selamos, Tok Singa dipenjara tiga tahun

KOTA BHARU – Tindakan empat pengamal perubatan tradisional membelasah seorang pensyarah lelaki hingga buta mata kiri membawa padah apabila mereka dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Antara yang dihukum termasuk dua individu yang dikenali dalam komuniti rawatan alternatif sebagai Wea Selamos dan Tok Singa, masing-masing berusia 37 tahun, selain dua lagi tertuduh iaitu Idrees Ishak dan Mohd Eric Mohd Ramli, 39.

Keputusan dibuat oleh Hakim Mohd Zul Zaqikudin Zulkifli selepas mendapati semua tertuduh bersalah atas pertuduhan mencederakan mangsa, Ahmad Shahrill ‘Ariff Zainol, 43, sehingga mengakibatkan kehilangan penglihatan kekal pada mata kiri dalam kejadian yang berlaku pada 5 Ogos 2021.

“Mahkamah mendapati pembelaan keempat-empat tertuduh hanyalah penafian semata-mata dan tidak berjaya menimbulkan keraguan munasabah,” katanya ketika membacakan keputusan, memetik laporan Sinar Harian.

Serangan itu berlaku sekitar pukul 4 pagi di sebuah rumah tumpangan di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Azrul Hasyimi Mohamad.

Menurut peguam, kejadian berpunca daripada dakwaan bahawa mangsa mengamalkan rawatan tradisional yang bertentangan dengan ajaran Islam sekali gus mencetuskan pertikaian dalam kalangan tertuduh.

Bagaimanapun, selepas dijatuhi hukuman, keempat-empat tertuduh memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan difailkan.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan menaikkan jumlah jaminan daripada RM3,000 kepada RM5,000 setiap seorang.

Mereka dibebaskan selepas melunaskan jaminan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button