Bedah siasat sahkan guru besar, isteri maut akibat tikaman di leher
SARAWAK – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan siasatan berhubung kes bunuh yang melibatkan pasangan suami isteri di Taman Mutiara, Sri Aman, masih dijalankan secara menyeluruh dan terperinci.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, bedah siasat telah dilakukan pada 15 Januari 2026 di Jabatan Forensik, Hospital Umum Sarawak oleh pakar patologi.
“Hasil bedah siasat ke atas mangsa lelaki mendapati terdapat 11 kecederaan akibat objek tajam di bahagian leher dan dada.
“Sebab kematian disahkan sebagai “Neck and Chest Injuries Due To Stab Wounds”.
“Mangsa perempuan pula mengalami luka tikaman di bahagian leher dan disahkan meninggal dunia akibat “Neck Injury Due To Stab Wounds”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, setakat ini seramai 21 saksi telah dirakamkan keterangan, termasuk ahli keluarga, jiran dan rakan sekerja mangsa.
“Motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan belum dapat dipastikan sepenuhnya,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, siasatan dijalankan secara profesional, telus dan berasaskan bukti forensik serta keterangan saksi.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi keluarga mangsa dalam tempoh ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







