
Bayi perempuan 10 bulan maut, dikatakan jatuh ketika dimandikan pengasuh
SUNGAI BULOH – Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan maut selepas dipercayai terjatuh ketika dimandikan pengasuh di Puncak Alam, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pukul 10.42 malam kelmarin daripada pegawai perubatan di Hospital UiTM Puncak Alam.
Laporan itu menyatakan, pengadu yang sedang bertugas di zon merah kecemasan hospital, menerima seorang pesakit bayi perempuan berusia 10 bulan dalam keadaan tidak sedarkan diri pada pukul 7.23 malam.
“Bayi perempuan itu dibawa dari sebuah klinik di Puncak Alam dengan menggunakan ambulans hospital.
“Pengadu dan doktor pakar kecemasan memberikan rawatan pernafasan dan ubatan terhadap bayi itu yang mengambil masa selama lebih kurang 22 minit, namun mangsa tidak menunjukkan tanda-tanda bernafas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, polis turut menerima satu laporan dibuat ibu kepada bayi malang berkenaan yang menyatakan dia menerima panggilan daripada pengasuh bayinya pada pukul 5.40 petang yang memaklumkan bayinya terjatuh dan didapati tidak sedarkan diri.
“Menurut pengasuh itu, kejadian berlaku semasa dia mahu memandikan bayi terbabit terjatuh mengiring sebelah kanan dan dalam keadaan sesak nafas.
“Pengasuh membawa bayi ke sebuah klinik di Puncak Alam,” katanya.
Jasad bayi tersebut sudah dibedah siasat di Hospital UiTM Puncak Alam dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sehingga keputusan laporan bedah siasat diperoleh.
“Pengasuh terbabit juga sudah dirakam percakapan dan polis juga meminta kerjasama orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta ke mana-mana balai polis yang berdekatan atau menghubungi hotline Balai Polis Saujana Utama di talian 03-6038 2222 atau menghubungi pegawai penyiasat iaitu Inspektor Mohamad Aizad Abd Azik di talian 013-4861194,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |