JENAYAH & MAHKAMAH

Bayi 9 bulan maut, ibu bapa cedera dalam nahas 4 kenderaan di Setiu

SETIU – Seorang bayi perempuan berusia 9 bulan maut manakala kedua ibu bapanya cedera dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 79, Jalan Kuala Terengganu–Kota Bharu berhampiran Kampung Bukit Grebar, semalam.

Insiden yang berlaku pada pukul 10.27 pagi itu menyebabkan mangsa, Nur Athiya Inara Isnorizal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, bayi itu meninggal dunia kira-kira 10 jam kemudian ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Menurut Mohd Zain, keluarga itu dalam perjalanan pulang ke kampung di Kampung Besut, Tumpat, Kelantan dari rumah mereka di Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Perodua Axia yang dipandu bapa mangsa berusia 25 tahun dikatakan tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang sebuah Perodua Axia lain yang sedang berhenti untuk membelok ke simpang kanan.

“Rempuhan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan berpusing sebelum dilanggar sebuah Honda Accord yang melalui arah bertentangan,” jelasnya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau menambah, kereta Honda Accord tersebut yang dipandu seorang lelaki berusia 54 tahun kemudian hilang kawalan dan melanggar sebuah Honda Accord lain yang berada di bahu jalan.

“Nur Athiya Inara yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Setiu sebelum dipindahkan ke HSNZ, namun disahkan meninggal dunia pada pukul 8.09 malam,” katanya.

Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap punca kemalangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button