
Bapa Baby Syifaa mengaku tidak bersalah salah guna harta berjumlah RM67,000
KUALA LUMPUR – Bapa kepada bayi Nour Rania Asyifaa yang lebih dikenali sebagai Baby Syifaa, Yuseri Yusoff hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan menyalahgunakan harta iaitu wang berjumlah RM67,000 milik seorang wanita, tahun lalu.
Yuseri, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.
“Saya mengaku tidak bersalah,” katanya ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Menurut pertuduhan, pempengaruh media sosial itu didakwa menyalahgunakan harta milik seorang wanita di sebuah premis di Jalan Wangsa Delima 6, Wangsa Maju, antara 20 Julai hingga 12 Oktober tahun lalu.
Yuseri didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan, dan denda jika disabitkan kesalahan.
Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Hamizah Hisan, mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Gaithri Thomas, merayu agar jumlah itu dikurangkan.
Beliau berhujah anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu menyara seorang anak perempuan berusia sembilan tahun yang masih bersekolah.
Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, Majistret Illi Marisqa membenarkan Yuseri diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 26 Ogos depan.
Polis mengesahkan lelaki itu telah ditahan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju pada pukul 2.45 petang, Selasa lalu, berkaitan dengan kes penipuan dalam urusan yuran guaman.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, Yuseri juga disiasat berhubung penyelewengan wang sumbangan orang ramai yang disalurkan ke akaun syarikatnya, YY Community Center.
Kisah bayi malang, Baby Syifaa, meraih simpati ramai selepas kejadian meninggal dunia di pusat asuhan pada Februari 2022.
Ramai yang menghulurkan derma kepada keluarga Baby Syifaa sebagai sokongan supaya mereka mendapatkan peguam terbaik untuk membela nasibnya.
Bagaimanapun, bekas peguam pemerhati keluarga Baby Syifaa, Hafiz Norkhan, menafikan wang itu digunakan untuk memulakan kerja bagi mewakili kes dan hanya menyedari perkara itu selepas diberitahu oleh mangsa dan pengadu lain sebelum membuat laporan polis berkenaan isu itu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, beliau mengesahkan ujian saringan air kencing terhadap suspek menunjukkan positif dadah jenis methamphetamine semasa ditahan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |