
Balu Tun Daim akan cabar perintah pembekuan aset oleh SPRM
KUALA LUMPUR – Isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid menegaskan, pihaknya akan mencabar dan mengenepikan perintah mahkamah yang diperoleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pembekuan asetnya di luar negara.
Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh peguam beliau hari ini, Na’imah memberitahu akan mempertahankan semua haknya.
“Saya akan mencabar perintah ini untuk mempertahankan apa yang tidak sepatutnya dirampas, negara ini ditadbir oleh undang-undang.
“Jangan ada keraguan bahawa saya akan melawan tindakan yang bermotif politik, cuai, berdendam dan tidak berlandaskan undang-undang ini melalui segala peralatan perundangan yang tersedia kepada saya,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Na’imah turut mendakwa tindakan SPRM yang membekukan asetnya di luar negara adalah satu pencabulan mengejut.
Malah, beliau memberitahu penyitaan harta oleh kerajaan tanpa sebarang notis kepada pemilik yang sah merupakan satu tindakan yang berbahaya.
“Satu garis sudah dilangkaui dan jika kita tidak melawan, mungkin tiada lagi garis yang tinggal sama sekali, maka tiada rakyat Malaysia yang akan selamat daripada jangkauan kuasa yang tidak dikawal.
“Saya tidak akan tunduk kepada pembuli. Kebenaran dan keadilan akan menang. Kepada mereka yang menyalahgunakan kuasa, ingatlah surah Ash-Shura, 42:42,” katanya lagi.
Ujar Na’imah apa yang paling membimbangkan dan mengejutkan adalah ia dilakukan walaupun tiada sebarang kesalahan jenayah dibuktikan terhadap Allahyarham suaminya.

“Undang-undang yang digunakan oleh SPRM, iaitu Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) memperuntukkan bahawa perintah seperti ini hanya boleh diberikan jika terdapat ‘kesalahan serius’ seperti yang
ditakrifkan dalam Jadual Kedua.
“Tiada kesalahan seperti itu pernah dibuktikan terhadap saya. Tiada pertuduhan seperti itu pernah dikenakan terhadap Daim. Tiada dapatan seperti itu pernah dibuat – tidak semasa hayatnya dan sudah pasti bukan selepas kematiannya,” tegas beliau lagi.
Semalam, media melaporkan tiga kediaman mewah di London ialah antara tujuh hartanah dan satu akaun bank didakwa milik Na’imah dan keluarganya, berjaya dibekukan oleh SPRM membabitkan nilai berjumlah GBP132 juta (RM758.2 juta).
BACA : SPRM siasat aset RM2 bilion milik Tun Daim, termasuk pemilikan luar negara tidak diisytihar
Hasil siasatan dijalankan SPRM mendapati harta alih dan tidak alih itu adalah perkara atau keterangan yang berhubung dakwaan suatu kesalahan bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid, membenarkan permohonan SPRM yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, untuk membekukan kesemua harta berkenaan pada prosiding secara sebelah pihak (ex-parte).
Setakat ini, sebanyak RM2 bilion aset dan harta milik bekas Menteri Kewangan itu sudah dibekukan sejak kes disiasat pada Februari 2023.
Allahyarham Tun Daim meninggal dunia pada 13 November 2024 pada usia 86 tahun.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |