
Azeez Rahim ceraikan isteri kedua dengan talak satu
PETALING JAYA – Bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, menceraikan isteri keduanya, Marina Mohamed, dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, hari ini.
Lafaz cerai itu dibuat pada pukul 10.45 pagi di hadapan Hakim Syarie, Abdul Malik Soleh, selepas perbincangan berlangsung hampir satu jam.
Mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Abdul Azeez selaku plaintif pada 9 Disember 2024 mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Hakim turut mensabitkan perceraian dan memerintahkan Marina menjalani tempoh idah selama tiga kali suci serta mendaftarkan perpisahan itu.
Peguam syarie yang mewakili Abdul Azeez, Datuk Mohd Zaidi Md Zain berkata, mahkamah merekodkan perpisahan pasangan itu berdasarkan keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Pejabat Agama Islam.

“Pasangan itu menghadapi shiqaq rumah tangga, iaitu perbalahan berpanjangan yang tidak dapat didamaikan.
“Oleh itu, plaintif melafazkan cerai secara baik dengan talak satu,” katanya lagi.
Sementara itu, Marina yang diwakili peguam syarie, Azmi Mohd Rais memaklumkan, mahkamah menetapkan Isnin depan untuk prosiding tuntutan cerai dengan kebenaran mahkamah antara kedua-dua pihak.
Menurutnya, mahkamah telah mengeluarkan perintah shiqaq dan menasihati plaintif untuk melafazkan cerai.
Abdul Azeez dan Marina mendirikan rumah tangga pada 11 September 2019 di Bachok, Kelantan, namun tidak dikurniakan cahaya mata.
Marina, 50, sebelum itu merupakan peguam yang mewakili Abdul Azeez dalam kes saman kerajaan bagi melucut hak hampir RM16 juta, termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway, daripada keluarga bekas Pengerusi Tabung Haji itu pada 2021.
Bagaimanapun, kerajaan telah menarik balik permohonan itu tiga tahun lalu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |